PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO)

PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU (UMNO)
"MELAYU DIPERKASAKAN, ISLAM PEGANGAN KAMI"

Monday, June 29, 2009

DAHULU DR. MAHATHIR BERKATA PAS LEBIH BAHAYA DARI KOMUNIS, KINI NIK AZIZ PULA SAMAKAN UMNO DENGAN KOMUNIS...


Tuan Guru Nik Aziz tidak tergamak mengkiaskan DAP sebagai Komunis.

DAHULU, iaitu sekitar tahun 1980 Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri kita pernah berkata bahawa PAS lebih merbahaya daripada komunis, KINI Tuan Guru Nik Aziz pula telah melemparkan dakwaannya bahawa UMNO sama sahaja dengan komunis, malah beliau juga mengkiaskan bahawa UMNO sama sahaja dengan Ayah Pin yang membawa ajaran sesat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri membuat dakwaan bahawa PAS lebih merbahaya daripada komunis ketika berhujah dan menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Baling, Haji Nakhaei Ahmad yang mewakili PAS pada masa itu.

Dr. Mahathir berhujah, di dalam Al-Quran Allah ada berfirman bahawa 'membuat fitnahm lebih merbahaya daripada membunuh'. Oleh kerana PAS dakwanya sering menaburkan fitnah, manakala pengganas komunis pula kerjanya membunuh anggota pasukan keselamatan, maka samalah juga pengertiannya bahawa PAS itu lebih merbahaya daripada komunis.

Hari ini Naqib PAS, Tuan Guru Nik Aziz pula tidak berganjak dengan dakwaannya itu terhadap UMNO, kerana katanya kenyataan itu dibuat lebih berasaskan kepada kiasan terhadap sesuatu yang sesuai pada pandangannya.

Demikianlah tuduh menuduh yang masih berterusan di antara dua buah parti terbesar orang Melayu di negara ini, iaitu UMNO dan PAS. Kedua-dua tokoh ini nampaknya telah menggunakan kepakaran dan persepsi masing-masing membuat kiasan sinis dengan merujuk 'komunis' sebagai simbol kejahatan terhadap parti yang diserangnya.

Persoalannya, benarkah UMNO itu sama dengan komunis, dan sejauh mana pula kebenaran dakwaan bahawa PAS itu lebih bahaya daripada komunis? Pada saya UMNO dan PAS bukanlah komunis, sama jugalah bahawa UMNO dan PAS bukanlah satu agama serpihan daripada Islam. Menyamakan parti masing-masing sebagai satu agama memungkinkan parti itu menjadi lebih sesat, kerana Rasulullah SAW tidak pernah menjadi ahli kepada mana-mana parti samada UMNO ataupun PAS.

Secetek-cetek pengetahuan saya tentang Islam, saya dapat merasakan bahawa sahabat-sahabat Rasulullah juga tidak pernah mengisi borang untuk menjadi ahli PAS semata-mata untuk meneruskan kerja-kerja dakwah mereka. Adakah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Omar Al-Khattab, Saidina Othman Al-Affan dan Saidina Ali Abu Talib yang dikenali sebagai Khalifah Al-Rashidin perlu menjadi ahli parti PAS untuk menjadikan diri mereka lebih Islam daripada orang lain?

Jika PAS menyamakan partinya sebagai satu agama, maka saya ingin menyarankan Nik Aziz supaya tidak meneruskan dakwaannya dengan menuding UMNO sebagai ajaran sesat, kerana dengan mendakwa hanya parti PAS yang layak di sisi Islam, apatah lagi dengan menuduh UMNO telah menyimpang daripada ajaran Islam, telah menjadikan PAS lebih tersimpang daripada ajaran Islam sebenarnya. Jika Nik Aziz sering menasihatkan UMNO supaya bertaubat, saya berpendapat bukan UMNO sahaja malah dirinya juga tidak harus dikecualikan untuk berbuat demikian.

Saya tidak bermaksud untuk berkata bahawa PAS telah menyesatkan fikrah umat Islam di Malaysia, tetapi jika tidak ditegur PAS kelihatan lebih cenderung untuk menjadi sebuah parti yang membahayakan Islam di negara ini. Mencelarukan pemikiran umat Islam dengan menyamakan partinya sebagai sebuah agama, telah menjadikan pengikut parti itu begitu taksub sehingga memandang rendah keimanan orang-orang UMNO terhadap Allah yang sama-sama disembah. Firman Allah yang menyebut, 'Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk menghambakan diri (menyembah) kepadaku, yakni Allah" janganlah dikelirukan dengan berkata hanya jin dan manusia di dalam PAS sahaja yang lebih bertaqwa di sisi Allah.

Bukankah Islam itu agama persaudaraan? Oleh itu mengapa UMNO dan PAS tidak menjiwai nilai persaudaraan yang terdapat di dalam ajaran Islam? Apakah percakaran sesama umat Islam dibolehkan semata-mata UMNO didakwa tidak Islamik seperti PAS? Apakah di dalam kubur nanti malaikat munkar dan nankir akan mengemukakan soalan kepada si mati samada dia UMNO atau PAS?

Rasanya Nik Aziz akan bersetuju dengan saya bahawa tahap keimanan seseorang terhadap UMNO dan PAS tidak langsung disentuh oleh malaikat di dalam soalan kubur, kerana Allah Rabbul Jalil akan memuliakan hambaNya yang lebih bertaqwa, tanpa mengira anutan parti yang disertainya. Lagi pun jika menganggap hanya PAS yang layak memperjuangkan Islam, manakala yang lainnya terutama UMNO dipandang jijik untuk bercakap mengenai Islam merupakan satu pandangan Nik Aziz sahaja yang suka berkias betapa orang lain yang tidak berkiblat kepada lambang 'bulan' sebagai tidak berkiblatkan Islam.

Pada dirinya, kiasan itu lebih manis daripada menuduh, kerana mungkin berkias mengatakan UMNO sama sahaja dengan komunis dan Ayah Pin bukannya satu fitnah lagi, tetapi telah menjadi dalil aqli yang amat sempit untuk diterima oleh umat Islam di negara ini. Umat Islam di Malaysia semakin dikelirukannya, kerana Nik Aziz telah mengecualikan DAP daripada kiasannya itu.

Nik Aziz tidak tergamak mengeluarkan kiasan buruknya terhadap Karpal Singh yang terang-terang menolak Islam kerana berpendapat DAP telah menjadi rakan sekutunya yang lebih baik daripada bersekutu dengan UMNO. Nik Aziz begitu selesa berkawan dengan puak 'kafir zimmi' ini daripada bermuqabalah dengan UMNO. Beliau dilihat begitu taksub dengan pegangannya sehingga kabur untuk membezakan landasan perjuangan DAP dengan perjuangan UMNO, kerana pada dirinya UMNO lebih jijik daripada DAP.

Maka sebab itu, Nik Aziz begitu lantang menegur Ustadz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS supaya tidak berada di dalam jemaah PAS jika mahukan kerajaan perpaduan bersama dengan UMNO. Nampaknya DAP semakin dimuliakan, kerana Nik Aziz lebih meyakini DAP boleh menerima Islam jika dibandingkan dengan UMNO yang telah dilabelkannya sebagai Ayah Pin.

(Nota: Petikan artikel daripada locengwangsa.blogspot.com)

No comments: